Sunday 27 January 2008

Pinda Akta Berkaitan Perumahan

Rumah masih tiada bekalan elektrik (Sedutan Dari Utusan)


JOHOR BAHRU 27 Jan. - Hampir 500 penduduk Taman Jaya Putra Perdana di sini merayu kerajaan negeri campur tangan bagi mengatasi masalah mereka yang terpaksa tinggal di rumah baru tanpa kemudahan asas bekalan elektrik dan air sejak tahun lepas.Mereka berkata, masalah itu berpunca daripada kegagalan syarikat pemaju perumahan terbabit memberikan sijil layak menduduki (CF) terhadap perumahan itu yang dibeli sejak tiga tahun lepas.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan perumahan tersebut mendapati, mereka terpaksa tinggal tanpa bekalan itu kerana tidak mampu membayar sewa rumah lain dan pada masa yang sama perlu menjelaskan bayaran ansuran bulanan kepada bank bagi rumah baru itu.
Lebih mengecewakan, menurut mereka, walaupun pelbagai desakan telah dilakukan untuk mendapatkan CF itu namun syarikat terbabit masih berdolak-dalik mengakibatkan masalah itu tidak selesai.

Seorang pembeli, Rozlin Ramli, 33, berkata, syarikat tersebut telah banyak kali berjanji untuk menyerahkan CF itu dalam jangka masa tertentu tetapi apabila tiba masanya CF itu tidak diberikan. "Syarikat itu melanggar perjanjian kerana mengikut dokumen Perjanjian Jualbeli (S&P), rumah perlu diserahkan kepada pembeli dalam tempoh dua tahun lengkap dengan CF," katanya yang membeli rumah berkenaan dengan harga RM117,000 seunit. Kata Rozlin, syarikat itu gagal berbuat demikian sebaliknya menyerahkan kunci rumah teres setingkat yang dibelinya itu tanpa CF.

Lebih menyedihkan, kata seorang lagi pembeli, Badrul Nizam Abdullah, 39, syarikat tersebut terus berjanji untuk mendapatkan CF tersebut dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati pihak pemaju gagal mencapai standard spesifikasi jalan raya dan telah meminta pihak pemaju membaikinya semula. "Kami tidak mahu perkara tersebut menyebabkan kami lewat masuk rumah kerana bayaran bulanan telah mula dibayar kepada bank," ujarnya yang membeli sebuah rumah berharga RM220,000.

Sehubungan itu, para pembeli rumah mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Tebrau, Teng Boon Soon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebrau, Abdul Halim Suleiman di Pejabat Wakil Rakyat Tebrau di sini bagi mencari jalan penyelesaian. Menurut Boon Soon, beliau berjanji akan membantu para pembeli rumah terbabit dengan mengajukan perkara tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique. "Sebagai orang tengah saya akan membantu penduduk dan berharap mereka dapat tinggal di rumah baru secepat mungkin," katanya.



Perspektif Negara Kebajikan


Dalam sebuah Negara Kebajikan penempatan atau kediaman dilihat sebagai salah satu keperluan asas. Keperluan penempatan atau kediaman yang selamat dan selesa merupakan salah satu tanggungjawab Kerajaan, Walaupun penyediaan rumah itu dilakukan oleh pihak swasta tetapi Kerajaan sebuah Negara Kebajikan tidak boleh berlepas tangan daripada memantaunya. Fenomena seperti di atas sudah menjadi fenomena biasa dan mereka yang selalu menjadi mangsa ialah rakyat. Dua punca dikenalpasti iaitu:


a. Tiada tindakan tegas diambil terhadap syarikat-syarikat perumahan yang terbabit.


b. Undang-undang berkaitan hartanah di Malaysia dilihat lebih berpihak kepada pemaju


Dalam sebuah Negara Kebajikan sesebuah Kerajaan seharusanya mendahulukan kepentingan rakyat bukannya kehendak pemaju. Oleh sebab itu, Kerajaan seharusnya:


a. Menggubal undang-undang yang menghalang pemaju mengambil sejumlah deposit yang besar daripada rakyat sehinggalah ke satu peringkat yang memperlihatkan projek perumahan yang dilaksanakan tidak mungkin terbengkalai.


b. Setiap pembeli seharusnya boleh mempunyai akses terhadap maklumat yang menunjukkan reputasi sesebuah syarikat pemaju, supaya dengan ketelusan maklumat ini mereka boleh merasa terjamin untuk membeli sesebuah rumah.


c. Bagi setiap pembeli yang membeli rumah pertama perlu diberikan pengecualian deposit atau Kerajaan yang mendahulukan depositnya sehingga rumah itu siap, barulah mereka bertanggungjawab membayarnya kembali. Dengan itu rakyat akan berurusan hanya dengan syarikat-syarikat yang diyakini oleh Kerajaan.


d. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek termasuklah tindakan-tindakan segera seperti membekukan harta mereka sementara menunggu penyelesaian atau perbicaraan sekiranya kes tersebut di bawa ke mahkamah.

No comments: