Thursday 31 January 2008

Negara Kebajikan Cukai Tinggi?

Bila PAS mewarwarkan tentang Negara Kebajikan, terus sahaja digambarkan bahawa negara seperti itu akan mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat. Malang sekali antara yang memberi maklumbalas seperti itu adalah di kalangan tokoh akademik dan pimpinan NGO. Logik dangkal digunakan, 'kalau semua percuma, daripada mana kerajaan memperolehi sumber kewangan, maka sudah tentu cukai akan dinaikkan'. Pandangan seperti ini sebenarnya hanya melihat pengutipan cukai sebagai instrumen memenuhkan kantung Kerajaan untuk melaksanakan pembangunan, sedang persoalan percukaian sebenarnya tidak terhad sekadar instrumen untuk tujuan tersebut. Dalam bidang Ekonomi, Percukaian (Taxation) sebenarnya telah menjadi satu disiplin akademik yang berkembang dengan begitu pesat sekali.

Sebenarnya percukaian boleh berperanan lebih jauh daripada sekadar menjadi instrumen memenuhkan kantung Kerajaan, sebaliknya menjadi agen pelaksana yang berkesan kepada sebarang polisi yang digubal oleh Kerajaan sama ada berkaitan dengan Sosial, Ekonomi, Budaya dan lain-lain. Sebagai contoh, percukaian boleh berperanan untuk menegakkan keadilan sosial dalam masyarakat dengan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Sekiranya aspek ini dilihat dalam konteks negara Malaysia, jelas sekali Malaysia gagal memanfaatkan percukaian untuk menegakkan keadilan sosial tersebut. Laporan PBB tentang Pembangunan Manusia beberapa tahun lepas telah menyenaraikan Malaysia antara negara yang paling luas jurang antara golongan kaya dan miskin, sekaligus menjelaskan bahawa kekayaan negara tidak dibahagikan secara saksama.

Malah berlakunya gejala-gejala negatif seperti peningkatan kadar jenayah dan kenaikan harga barang boleh dikaitkan dengan kegagalan dasar percukaian negara. Sebenarnya hampir seluruh negara di dunia ini tidak boleh terkecuali daripada mengutip cukai daripada rakyat atau pihak-pihak lain. Persoalan tinggi atau rendah kadar cukai itu tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan banyak atau tidak perkhidmatan keselamatan dan kebajikan yang diberikan kepada rakyat. Terdapat negara-negara yang kerajaannya mengambil tanggungjawab aktif terhadap keselamatan dan kebajikan, cukai yang dikutip antara yang terendah. Oleh sebab itu, logik yang mengatakan cukai akan naik merupakan pendapat golongan yang tidak memahami tentang percukaian.

No comments: