Sunday 27 January 2008

Jaminan Keselamatan Perjalanan Anda

Dua maut, 9 parah bas terbalik (Sedutan dari Utusan)


BEHRANG 25 Jan. - Dua terbunuh manakala 27 lagi cedera termasuk sembilan daripadanya parah dalam satu kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas dua tingkat dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 383 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini hari ini. Mangsa yang terbunuh ialah penumpang bas, Mohd. Zailani Mustafa, 23, dan Lee Nian Ning, 21.

Kedua-duanya yang berasal dari Pulau Pinang mati di tempat kejadian. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang sewaktu hujan lebat dengan bas berkenaan dipercayai dipandu laju hingga gagal dikawal dan terbabas.

Difahamkan kebanyakan mangsa yang cedera parah berada di tingkat atas bas tersebut. Ketua Polis Daerah Slim River, Supritendan Md. Ali Mohd. Nayan berkata, bas berkenaan dikatakan terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan MPV yang dinaiki
tiga orang.

Selepas rempuhan itu, katanya, bas yang datang dari arah Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dengan membawa 21 penumpang termasuk pemandunya terus terseret dan terbalik. "Semua mangsa terlibat berjaya dikeluarkan dari bas dan MPV dan dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Slim River, Deputi Supritendan Adzhar Othman memberitahu, pemandu bas tersebut mempunyai tiga waran tangkap dan 19 saman termasuk 12 kesalahan memandu melebihi had laju.


Perspektif Negara Kebajikan

Dalam sebuah Negara Kebajikan, kerajaan amat menitik beratkan keselamatan rakyat kerana setiap peristiwa yang berlaku itu seorang pemimpin tidak akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt. Dalam sebuah Negara Kebajikan pemerintah seharusnya menyediakan seboleh mungkin prasarana yang boleh menjamin keselamatan rakyat khususnya di Lebuh Raya di samping penguatkuasaan peraturan-peraturan berkaitan.

Dalam isu di atas, persoalan timbul mengapa pemandu yang seperti ini boleh berada di jalan raya, malah boleh dipertaruhkan nyawa penumpang kepadanya? Mengapa syarikat Bas yang berkenaan boleh mengambil pemandu yang sedemikian? Mengapa syarikat yang mengambil pemandu seperti ini tidak diambil tindakan. Dalam sebuah Negara Kebajikan yang menitik beratkan keselamatan rakyat, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap syarikat dan pemandu sedemikian.

KEUTAMAAN KESELAMATAN RAKYAT LEBIH UTAMA DARI PERNIAGAAN SESEBUAH SYARIKAT.

No comments: