Tuesday 4 March 2008

Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam Akan di Tutup

Baru-baru ini akhbar-akhbar harian membuat perbandingan harga barang-barang di Malaysia yang dikatakan lebih rendah daripada negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Beberapa barangan telah dipilih seperti tepung dan petrol. Benarkah barang-barang di Malaysia lebih rendah daripada negara-negara jiran seperti ini. Jika benar sedemikian maka sepatutnya pusat membeli-belah Wang Kalian, Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur perlu ditutup. Apa perlu kita melambakkan barangan Thailand di situ sebab barangannya lebih mahal???

Menunggu Sinergi Melayu, Cina dan India

Senario politik Malaysia sememangnya dicorakkan oleh politik perkauman khususnya golongan Melayiu, Cina dan India. Ketiga-tiga kaum ini disalurkan tuntutan mereka oleh BN, sehingga politik Malaysia begitu sinonim dengan politik 'offer and demand' berdasarkan kaum. Apabila terdapat kaum yang tidak berpuas hati terhadap BN maka mereka akan membuat undi protes terhadap BN sehingga majoriti kemenangan BN sedikit tergugat. BN kemudian akan memenuhi tuntutan tersebut pada piliharaya berikutnya, sehingga kaum tersebut akan kembali menyokong BN. Demikianlah senario politik yang begitu menjamin survival BN sehingga hari ini.

Kaum Cina telah beberapa kali melakukan undi protes terhadap Perikatan dan BN. Pada tahun 1969, kaum Cina telah mengadakan undi protes khususnya terhadap keangkuhan beberapa pimpinan ultra Malay UMNO seperti Dr Mahathir Mohamad dan Harun Idris. Kesan daripada undi protes tersebut menyebabkan Perikatan kehilangan beberapa negeri seperti Pulau Pinang dan Kelantan serta hampir tumbang di Perak dan Selangor. Kemudian pada tahun 1990, sekali lagi pengundi Cina membuat undi protes kepada BN bagi mendesak BN memenuhi tuntutan mereka. Kesan daripada sikap kaum Cina telah menyebabkan BN kehilangan banyak kerusi terutama di Pulau Pinang, Malaka dan lain-lain. Beberapa tokoh besar Gerakan dan MCA kecundang.

Manakala kaum Melayu pula pernah membuat undi protes kepada BN pada tahun 1999 sebagai undi simpati kepada Anwar Ibrahim. Undi protes terhadap BN ini telah menyebabkan BN kehilangan satu lagi negeri kepada PAS, iaiyi Terengganu. Beberapa pimpinan UMNO tumbang dan hampir kalah. Kesan perubahan sikap pengundi Melayu ini memang cukup besar tetapi diseimbangkan oleh sokongan pengundi Cina dan India terhadap BN. Undi pengundi Cina dan India inilah yang telah menyelamatkan BN daripada kalah pada tahun 1999.

Pada tahun 2008 ini, seperti tidak disangka berlaku pula undi protes kaum India terhadap BN. Pada masa yang sama kaum Cina juga dilihat cenderung kepada pembangkang. Masalah kemiskinan, peningkatan kadar jenayah dan kenaikan harga barang banyak menyumbang kepada perubahan sikap kedua-dua kaum ini. Cuma kaum Melayu yang masih sukar dilihat sikap mereka. Kritikan Dr Mahathir terhadap kepimpinan Pak Lah dan kelemahan Pak Lah memimpin negara sehingga ditunggangi oleh menantunya, dilihat boleh mendorong perubahan sikap pengundi Melayu. Selain daripada itu masyarakat Melayu sendiri telah melihat bagaimana sebenarnya merekalah yang terhimpit kesan daripada kenaikan harga barang. Cuma mereka silent justeru sukar ditentukan sikap mereka. Sekiranya mereka turut berubah kepada pembangkang, maka apakah kesan daripada sinergi Melayu, Cina dan India ini. BN akan tumbang.