Wednesday, 13 February 2008

Penghapusan AP Barangan Makanan Boleh Turunkan Harga?

Dalam Manifesto PAS Teras Ketujuh, sekiranya PAS boleh memerintah PAS akan "Meneliti kembali pemberian Permit Impot (AP) bagi barangan makanan (foodstuffs) utama seperti gandum, gula dan beras supaya tidak berlaku Monopoli dan Pakatan (Cartels) yang mencekik pengguna." Berikut adalah persoalan-persoalan umum yang akan ditanya tentang perkara ini:

Soalan: Mengapa dengan adanya AP, harga barangan makanan tinggi?
Jawapan: AP adalah lesen untuk membawa masuk barangan makanan yang diberikan kepada pihak tertentu oleh kerajaan. Apabila hanya pihak tertentu sahaja yang dibenarkan membawa masuk barangan makanan, maka tiada persaingan untuk menawarkan harga makanan yang paling rendah. Sebaliknya jika tiada AP, sesiapa sahaja dibenarkan mendapatkan bekalan makanan daripada luar negara pada harga yang paling murah. Cara ini akan mendorong pengimpot untuk bersaing menawarkan harga terendah.

Soalan: Bagaimana AP menyebabkan monopoli dan Pakatan?
Jawapan: Monopoli dan pakatan adalah gejala tidak sihat yang boleh memudaratkan pengguna dan rakyat teramai. Apabila sesuatu penawaran barangan itu dimiliki hanya oleh satu pihak maka pihak itu bebas menentukan harga yang boleh mencekik pengguna. Demikian juga apabila pihak yang menawarkan sesuatu barangan itu tidak ramai, maka kemungkinan untuk mereka berpakat menentukan harga adalah tinggi? Maka bila mereka berpakat antaranya mengurangkan barangan itu di pasaran, dengan sendiri harga sesuatu barangan makanan akan melambung. Gejala monopoli dan pakatan ini dapat diatasi dengan membuka kepada pasaran dan persaingan bebas iaitu dengan menghapuskan AP. Penghapusan AP barangan makanan ini akan menyebabkan kemasukan barangan makanan secara lambakan ke negara ini, dan ini akan mengurangkan risiko monopoli dan sekatan, sekaligus menawarkan harga terendah.

Soalan: Bolehkan kaedah tersebut menurunkan harga barang?
Jawapan: Kaedah ini telah terbukti berkesan menurunkan harga barang sehingga ke paras terendah. Sebagai contoh di Britain diperkenalkan konsep Fairtrade iaitu dibuka pasaran barangan makanan daripada negara-negara membangun seperti dari Afrika dan Asia masuk ke Britain. Sebelum ini barangan makanan seperti beras, sayuran dan lain-lain yang tidak dihasilkan di Britain di bawa daripada negara-negara maju seperti US dan harganya agak tinggi. Tetapi bila dibuka pasaran ini kepada negara-negara Afrika dan Asia, barangan tersebut diimpot dengan harga yang begitu murah. Dengan peningkata penawaran barangan makanan ini, maka barangan makanan seumpama itu di Britain boleh dibeli dengan harga kurang daripada £1.00.

Soalan: Tidakkah dengan penghapusan AP ini akan menggugat petani-petani tempatan?
Jawapan: Bukan semua AP barangan makanan itu dihapuskan. Barangan makanan yang terlibat ialah barangan makanan yang tidak dihasilkan atau kurang dihasilkan di Malaysia seperti gandum (tepung), Susu Tepung, Bijirin dan lain-lain. Adapun barangan makanan yang dihasilkan di Malaysia, maka akan dipastikan terlebih dahulu kemampuan petani Malaysia untuk bersaing supaya mereka tidak akan tertindas dengan perdagangan bebas seperti ini. Kaedah inilah yang banyak dilakukan oleh negara-negara Eropah.