Monday 28 January 2008

Pinjaman Mudah Kepada Memerlukan

Punca Nelayan Guna Bom (Sedutan Berita Harian)

KOTA KINABALU: Kekurangan modal untuk membeli bot besar yang dilengkapi teknologi moden untuk menangkap ikan di laut dalam dikesan menjadi punca segelintir nelayan kecil di Pulau Mantanani di sini menggunakan bom ikan.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Japlin Akim, berkata nelayan tiada pilihan lain kecuali menggunakan bahan letupan berbahaya walaupun menyedari ia melanggar undang-undang Jabatan Perikanan Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta sektor swasta dan badan korporat tampil membantu menyediakan kemudahan bot canggih dilengkapi pukat dan radar supaya nelayan menjauhi kegiatan yang memusnahkan sumber perikanan negara.

"Kemudahan mesti diberi secara berkelompok iaitu setiap bot digunakan oleh 50 keluarga nelayan manakala hasil pendapatan dibahagikan sama rata.

"Kedudukan pulau itu di tengah Laut China Selatan menyebabkan nelayan tiada pilihan kecuali beroperasi di laut dalam," katanya di sini, kelmarin.

Ketika ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menasihatkan nelayan di pulau itu supaya mengamalkan sistem penangkapan ikan yang selamat dan memperkenalkan projek keusahawanan berasaskan industri makanan untuk meningkatkan ekonomi mereka.


Perspektif Negara Kebajikan

Sektor perikanan selalu diakui termasuk oleh LKIM sebagai sektor yang menjanjikan keuntungan. Namun demikian tidak ramai yang berani melabur dalam sektor ini antara lain disebabkan oleh gambaran negatif tentang kesusahan kehidupan Nelayan. Oleh sebab itu, Kerajaan sebuah Negara Kebajikan seharusnya berani untuk menceburi bidang berpotensi seperti ini di samping mengeluarkan golongan Nelayan daripada terus-menerus dalam kemiskinan. Mengharapkan pihak swasta menyediakan kemudahan kepada Nelayan adalah sesuatu yang tidak masuk akal, melainkan pihak swasta itu memperolehi keuntungan atas penyediaan tersebut.

Sebuah Negara Kebajikan seharusnya menubuhkan dana untuk menyalurkan pinjaman mudah kepada golongan yang memerlukan bagi menceburi bidang yang diyakini memberi keuntungan seperti sektor perikanan ini. Pinjaman tersebut diberikan secara bebas riba, sehingga Nelayan tersebut tidak terbeban dengan pinjaman yang diberi.

No comments: