Wednesday 20 February 2008

Rakyat Malas dan Kurang Daya Saing Bila Mereka Sihat dan Bijak?

Begitu menghairankan apabila tokoh-tokoh ekonomi boleh memberikan pandangan bahawa pelaksanaan Negara Kebajikan akan menjadikan rakyat malas dan kurang berdaya saing. Penasihat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Zainal Aznam Yusoff dalam Utusan Malaysia (20 Februari) menyatakan bahawa tindakan mewujudkan ‘Negara Kebajikan’ akan menjadikan rakyat semakin malas dan tidak berani menghadapi risiko. Beliau turut mengulas, "Adakah ini bermaksud Pas akan membiayai perbelanjaan rakyat seumur hidup sehingga mereka tidak perlu mengeluarkan wang satu sen pun?’’ Jelas sekali beliau tidak mengetahui apakah sebenarnya konsep 'Negara Kebajikan' sehingga mengeluarkan kenyataan bodoh seperti itu.

Dalam sebuah Negara Kebajikan kerajaan berperanan aktif untuk menyediakan keperluan asasi kepada rakyat sehingga setiap rakyat memperolehi hak saksama untuk memperolehi keperluan itu. Keperluan asasi tersebut termasuklah kesihatan dan pendidikan, maka kerajaan berperanan untuk memastikan seluruh rakyat memperolehi kesihatan dan pendidikan yang terbaik secara percuma. Manakala dalam perkara-perkara yang tidak termasuk dalam keperluan asasi, ruang dibuka seluas-luasnya untuk perdagangan dan persaingan bebas, sedangkan Kerajaan hanya berperanan memantau supaya tidak berlaku gejala tidak sihat. Apakah apabila rakyat sihat dan bijak maka mereka menjadi malas dan kurang berdaya saing?

Friday 15 February 2008

Adakah Elaun Penganggur Dalam Negara Kebajikan?

Perkataan 'bankrap' seperti sudah menjadi ratib bagi Najib Razak, sehingga apa juga hasrat pembangkang untuk memberi keselesaan dan kebajikan kepada rakyat dikatakan akan membankrapkan negara. Yang terbaru beliau mengulas bahawa hasrat PAS untuk menjadikan Malaysia Negara Kebajikan akan menyebabkan negara menjadi bankrap. Beliau menyatakan apabila elaun diberikan kepada penganggur, maka akan lahir golongan yang malas bekerja. Keadaan ini akan menyebabkan negara terpaksa mengimpot pekerja asing yang seterusnya akan menyebabkan kemerosotan ekonomi.

Betapa malangnya Malaysia mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri yang jangkauan pemikirannya sampai setakat itu sahaja. Daripada mana beliau mendapat penjelasan tentang konsep Negara Kebajikan sehingga mengeluarkan pandangan sedangkal itu. Adakah daripada penasihat-penasihatnya yang antaranya berkelulusan Cambridge? Tidak ada sebuah Negara Kebajikan pun dalam dunia ini yang memberikan elaun kepada penganggur, kecuali kepada golongan yang sememangnya memerlukan seperti golongan kurang upaya, ibu tunggal dan orang-orang tua. Malah dalam manifesto Negara Kebajikan PAS juga tiada menjanjikan janji sedemikian.

Di United Kingdom yang terdapat Unemployed Benefits (Manfaat Bagi Penganggur), bukannya memberikan elaun kepada penganggur. Unemployed Benefits ini hanya memberikan elaun kepada golongan pencari kerja (job seekers), iaitu mereka yang dalam tempoh mencari kerja lain setelah berhenti kerja dengan sesebuah majikan. Mereka yang berhak mendapat elaun ini hendaklah mereka yang mencarum dengan National Insurence (Insurans Kebangsaan) semasa mereka dalam perkhidmatan. Mereka dikehendaki untuk menghadiri temuduga di Job Centre (Pusat Pekerjaan) untuk memperolehi kerja baru dan melaporkan diri 2 minggu sekali di pusat tersebut. Elaun Pencari Kerja itu hanya untuk tempoh 12 bulan bukannya sepanjang hayat.

Oleh sebab itu, Unemployed Benefits ini bukanlah elaun penganggur seperti yang Najib fahami. Sepatutnya bila beliau pergi ke United Kingdom, beliau memahami betul-betul apakah yang dimaksudkan dengan Unemployed Benefits ini. Bukankah beliau selalu ke United Kingdom menziarahi anak-anaknya dan anak-anak Rosmah serta menzirahi bangunan beberapa tingkat yang dimilikinya di kota London? Sepatutnya kesempatan itu diambil untuk memahami apakah itu Unemployed Benefits, bukannya kesempatan untuk Rosmah beberlanja berjuta-juta ringgit sehari memuaskan nafsunya membeli pelbagai akesesori. Sebenarnya tabiat Rosmah itulah yang bakal membangkrapkan negara!

Wednesday 13 February 2008

Penghapusan AP Barangan Makanan Boleh Turunkan Harga?

Dalam Manifesto PAS Teras Ketujuh, sekiranya PAS boleh memerintah PAS akan "Meneliti kembali pemberian Permit Impot (AP) bagi barangan makanan (foodstuffs) utama seperti gandum, gula dan beras supaya tidak berlaku Monopoli dan Pakatan (Cartels) yang mencekik pengguna." Berikut adalah persoalan-persoalan umum yang akan ditanya tentang perkara ini:

Soalan: Mengapa dengan adanya AP, harga barangan makanan tinggi?
Jawapan: AP adalah lesen untuk membawa masuk barangan makanan yang diberikan kepada pihak tertentu oleh kerajaan. Apabila hanya pihak tertentu sahaja yang dibenarkan membawa masuk barangan makanan, maka tiada persaingan untuk menawarkan harga makanan yang paling rendah. Sebaliknya jika tiada AP, sesiapa sahaja dibenarkan mendapatkan bekalan makanan daripada luar negara pada harga yang paling murah. Cara ini akan mendorong pengimpot untuk bersaing menawarkan harga terendah.

Soalan: Bagaimana AP menyebabkan monopoli dan Pakatan?
Jawapan: Monopoli dan pakatan adalah gejala tidak sihat yang boleh memudaratkan pengguna dan rakyat teramai. Apabila sesuatu penawaran barangan itu dimiliki hanya oleh satu pihak maka pihak itu bebas menentukan harga yang boleh mencekik pengguna. Demikian juga apabila pihak yang menawarkan sesuatu barangan itu tidak ramai, maka kemungkinan untuk mereka berpakat menentukan harga adalah tinggi? Maka bila mereka berpakat antaranya mengurangkan barangan itu di pasaran, dengan sendiri harga sesuatu barangan makanan akan melambung. Gejala monopoli dan pakatan ini dapat diatasi dengan membuka kepada pasaran dan persaingan bebas iaitu dengan menghapuskan AP. Penghapusan AP barangan makanan ini akan menyebabkan kemasukan barangan makanan secara lambakan ke negara ini, dan ini akan mengurangkan risiko monopoli dan sekatan, sekaligus menawarkan harga terendah.

Soalan: Bolehkan kaedah tersebut menurunkan harga barang?
Jawapan: Kaedah ini telah terbukti berkesan menurunkan harga barang sehingga ke paras terendah. Sebagai contoh di Britain diperkenalkan konsep Fairtrade iaitu dibuka pasaran barangan makanan daripada negara-negara membangun seperti dari Afrika dan Asia masuk ke Britain. Sebelum ini barangan makanan seperti beras, sayuran dan lain-lain yang tidak dihasilkan di Britain di bawa daripada negara-negara maju seperti US dan harganya agak tinggi. Tetapi bila dibuka pasaran ini kepada negara-negara Afrika dan Asia, barangan tersebut diimpot dengan harga yang begitu murah. Dengan peningkata penawaran barangan makanan ini, maka barangan makanan seumpama itu di Britain boleh dibeli dengan harga kurang daripada £1.00.

Soalan: Tidakkah dengan penghapusan AP ini akan menggugat petani-petani tempatan?
Jawapan: Bukan semua AP barangan makanan itu dihapuskan. Barangan makanan yang terlibat ialah barangan makanan yang tidak dihasilkan atau kurang dihasilkan di Malaysia seperti gandum (tepung), Susu Tepung, Bijirin dan lain-lain. Adapun barangan makanan yang dihasilkan di Malaysia, maka akan dipastikan terlebih dahulu kemampuan petani Malaysia untuk bersaing supaya mereka tidak akan tertindas dengan perdagangan bebas seperti ini. Kaedah inilah yang banyak dilakukan oleh negara-negara Eropah.


Negara Kebajikan PAS Menggadaikan Prinsip?

Menteri Besar Trengganu Idris Jusoh, menyatakan bahawa PAS telah menggadaikan prinsip perjuangan kerana beralih memperjuangkan Negara Kebajikan. Beliau menuduh PAS telah mengenepikan perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hukum Hudud. Sukalah dijelaskan bahawa matlamat PAS untuk menegakkan negara Islam telah tercatat dalam Perlembagaan PAS sejak tahun1951 lagi dan sehingga kini matlamat tersebut masih bertulis, tidak akan diketepikan sehingga bila-bila. Dalam Perlembagaan PAS antara lain menyebut; "Matlamat PAS ialah memperjuangkan bagi mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan ALLAH". Kandungan perlembagaan tersebut secara jelas menetapkan matlamat PAS termasuk dalamnya menegakkan Negara Islam dan Hukum-hukum Allah.

Manakala Negara Kebajikan adalah salah satu sifat negara dan pemerintahan yang disebut oleh Allah swt di dalam Al-Quran seperti mana doa Nabi Ibrahim dalam Surah al-Baqarah ayat 126 dan Surah Quraysh ayat 3-4. Oleh sebab itu, Negara Kebajikan adalah salah satu daripada sifat-sifat Negara Islam yang ditampilkan oleh PAS dalam Pilihanraya kali ini. Dengan mengemukakan salah satu sifat Negara Islam tersebut pada peringkat ini, merupakan satu pendekatan dakwah yang berhikmah untuk menuju kepada matlamat PAS yang tercatat secara bertulis dalam perlembagaan parti. Dalam konteks sains politik moden, konsep Negara Kebajikan atau Welfare State lah yang paling hampir kepada Negara Islam berbanding sistem-sistem pemerintahan Liberalisme dan Sosialisme.